BEBERAPA petugas menyorong keranda di tempat kemalangan.   - AFP
BEBERAPA petugas menyorong keranda di tempat kemalangan. - AFP
Agensi

Munich: Kira-kira 18 orang dikhuatiri mati apabila sebuah bas membawa sekumpulan pesara terbakar selepas berlanggar dengan sebuah treler di setlatan Jerman, semalam.

Jurucakap polis, Juergen Stadter memberitahu wartawan, sebahagian daripada 30 penumpang yang dikeluarkan dari bas berkenaan cedera teruk.

Seorang lagi jurucakap polis, Anne Hoefer memberitahu, penumpang adalah warga emas dan sebahagian mereka tidak sempat keluar dari bas itu.

Bas berkenaan yang membawa 46 warga emas dikatakan merempuh treler berkenaan ketika kesesakan jalan raya di Stammbach, sebuah bandar di Bavaria.

Kemalangan yang berlaku pada jam 7 pagi (1 tengah hari waktu Malaysia) itu menyebabkan bas berkenaan terbakar serta-merta.

Menurut akhbar Bild, bas itu dalam perjalanan dari Lausitz, wilayah di timur Jerman ke Nuremberg.

Jika jumlah kematian itu disahkan, kemalangan berkenaan yang berlaku pada permulaan cuti musim panas akan menjadi kemalangan paling buruk berlaku di Jerman.

Antara kemalangan paling buruk sebelum ini ialah pada Jun 2007 apabila 13 orang mati selepas bas yang mereka naiki terhumban ke dalam gaung di negeri Saxony-Anhalt, timur Jerman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 9:57 AM