Tubuh Chen Yi yang baru berusia tujuh tahun jadi perhatian ramai. - Foto Daily Mail
Agensi

BUDAK lelaki sasa berusia tujuh tahun dari wilayah Zhejiang, China, menjadi perhatian ramai sejak gambarnya dengan tubuh sado tersiar di internet.

Chen Yi ialah ahli gimnastik yang menjalani latihan sukan itu sejak dua tahun lalu, dan gambarnya yang tersiar di media sosial menunjukkan ketulan seperti ahli bina badan pada tubuhnya, dirakam 2 Julai lalu di sebuah gimnasium di Hangzhou, Zhejiang.

Menurut laporan People's Daily Online, selepas selesai menyertai Kejohanan Sukan Hangzhou Ke-19 disertai kira-kira 50 atlet muda, Chen Yi menjadi tumpuan selepas dia membuka baju untuk bersalin pakaian.

Gambar itu kemudian disiarkan di media sosial sebelum menjadi tular dengan pelbagai reaksi orang ramai, termasuk menggelarnya ‘budak sasa’ dan ‘eight-packs abs boy’.

Prestasi Chen Yi di kejohanan itu amat memberangsangkan, memenangi enam pingat emas dan satu perak.

Chen Yi memenangi enam pingat emas dan satu perak. -Foto Daily Mail

Ibunya, Zhang Hongyu, berkata anaknya itu ‘sudah kuat’ sejak dilahirkan dengan berat lebih empat kilogram dan boleh berjalan ketika berusia 11 bulan.

Apabila berusia dua tahun, Chen Yi sudah boleh mengangkat tubuhnya pada palang besi menggunakan satu tangan manakala satu tangan lagi memegang botol susu.

Menurut ibunya, anaknya itu juga sukakan pau berinti daging dan boleh makan lebih 12 biji sekali makan.

Ketika berusia lima tahun, sebuah sekolah gimnastik mengambilnya sebagai pelajar, tinggal, berlatih dan belajar di sekolah itu dari Isnin hingga Jumaat, pulang ke rumah pada hujung minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 5:20 PM