Mayat dua tebusan Vietnam yang ditemui di Basilan, Mindanao, semalam. -Foto Agensi
Mayat dua tebusan Vietnam yang ditemui di Basilan, Mindanao, semalam. -Foto Agensi
AFP

PRESIDEN Filipina Rodrigo Duterte hari ini, mengancam mahu memakan hidup-hidup militan Abu Sayyaf yang memenggal kepala dua tebusan Vietnam.

Mayat dua tebusan itu yang diculik bersama empat anak kapal kargo Vietnam Nomber lalu, ditemui tentera di Basilan, Mindanao, semalam.

“Saya akan makan hati kamu jika kamu mahu saya berbuat begitu. Bagi saya garam dan cuka, saya akan makan depan kamu.

“Saya makan semuanya, saya tak memilih. Saya makan walaupun apa yang tidak boleh ditelan,” katanya berucap di depan sekumpulan pegawai kerajaan di Manila.

Sambil memegang telefon bimbit memaparkan gambar mayat tebusan Vietnam itu, Duterte dengan marah ‘menyumpah’ militan terbabit.

“Kita akan biarkan diri kita ‘diperhamba’ oleh orang ini? Anak h***m!” kata presiden berusia 72 tahun itu.

Tahun lalu, beliau mengarahkan perang besar-besaran bagi menghapuskan Abu Sayyaf yang ditubuhkan pada 1990-an bagi menuntut kemerdekaan Mindanao.

Pertubuhan itu sudah berpecah kepada beberapa kumpulan kecil, termasuk yang menculik untuk wang tebusan dan ada yang berikrar menyokong Negara Islam (IS).

Militan, termasuk Abu Sayyaf masih menguasai sebahagian selatan Filipina, termasuk yang terbabit dalam perang di Marawi sekarang.

Abu Sayyaf masih menahan 22 tebusan, termasuk lapan rakyat Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2017 @ 5:30 PM