POLIS menahan seorang penunjuk perasaan, semalam. - Reuters
POLIS menahan seorang penunjuk perasaan, semalam. - Reuters

Hamburg: Pertempuran baru meletus awal semalam di jalan raya di Hamburg berikutan berakhirnya sidang kemuncak G20 dengan penunjuk perasaan membakar beberapa kenderaan, kata polis.

Penunjuk perasaan berkumpul di daerah Schanzen, kubu kuat kumpulan radikal berhaluan kiri yang menyaksikan beberapa kejadian ganas sejak Khamis lalu.

Dengan bersenjatakan botol dan menyasarkan kenderaan yang kebanyakannya dibakar mereka, penunjuk perasaan itu dipaksa berundur oleh polis yang menggunakan meriam air dan gas pemedih mata.

Menurut angka terbaru, 213 anggota polis cedera sejak Khamis lalu dan 143 penunjuk perasaan ditahan.

Jumlah penunjuk perasaan yang cedera tidak diketahui.

Keganasan bermula malam Khamis lalu menjelang perasmian sidang kemuncak G20 yang dihadiri pemimpin 20 negara ekonomi terbesar dunia apabila tunjuk perasaan oleh kira-kira 12,000 orang yang membantah globalisasi bertukar menjadi ganas.

Polis mengecam kumpulan anarki yang menamakan diri mereka Black Block dan menuduh mereka mengambil kesempatan terhadap tunjuk perasaan aman oleh ribuan orang untuk menyerang polis.

Sementara itu, sebahagian penduduk Hamburg menyelar Canselor Angela Merkel kerana tidak menimbang keganasan yang akan berlaku ketika memilih bandar itu sebagai tempat persidangan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2017 @ 6:53 AM