POLIS berkasar dengan orang ramai yang cuba masuk ke kota lama melalui Pintu Damsyik untuk menunaikan solat Jumaat. - AFP

Baitulmaqdis: Polis Israel membatalkan solat Jumaat di Masjid al-Aqsa semalam selepas dua rakyatnya cedera parah dalam kejadian tembakan berhampiran kawasan berkenaan.

Menurut jurucakap semalam, polis masih menyiasat sama ada tiga lelaki bersenjata yang dibunuh dalam kejadian di al Haram al Sharif itu adalah orang Palestin.

Dalam kejadian semalam, tiga penyerang melepaskan tembakan terhadap polis Israel di Kota Lama Baitulmaqdis sebelum melarikan diri berhampiran tempat suci itu dan ditembak mati pasukan keselamatan.

Tiga orang cedera dengan dua daripadanya kritikal akibat kejadian berkenaan.

Kejadian itu antara yang paling serius berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini di Baitulmaqdis, sekali gus dibimbangi meningkatkan lagi ketegangan antara Israel dan Palestin.

Setakat ini tiada butiran lanjut berhubung identiti penyerang berkenaan.

Pertempuran antara penduduk Palestin dan rejin Zionis sering berlaku di situ, namun kejadian tembakan jarang berlaku di situ sebaliknya kerap membabitkan serangan menggunakan pisau.

Bunyi tembakan dapat didengar di kawasan itu dalam video yang dikongsi di media sosial.

Sementara itu, mufti besar Baitulmaqdis, Muhammad Ahmad Hussein dilaporkan ditahan pihak berkuasa susulan kejadian itu.

Perkara itu dinyatakan anaknya, tetapi polis enggan mengulas dakwaan itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2017 @ 4:19 AM