Vajiralongkorn
AFP

Bangkok: Satu undang-undang baru yang memberi Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn penguasaan penuh terhadap aset diraja yang dianggarkan bernilai berbilion dolar mula berkuat kuasa semalam.

Undang-undang itu dianggap langkah terbaru Vajiralongkorn untuk meluaskan kuasanya.

Vajiralongkorn mewarisi peninggalan harta antara terbesar dunia apabila menaiki takhta pada Oktober tahun lalu susulan kematian bapanya, Raja Bhumibol Adulyadej yang memerintah selama tujuh dekad.

Keluarga diraja Thailand dilindungi oleh undang-undang menghina raja yang ketat dan tidak diwajibkan untuk mengisytiharkan harta.

Penganalisis menganggarkan harta dinasti Chakri itu antara AS$30 bilion (RM128 bilion) hingga AS$60 bilion (RM257 bilion) dan antara paling kaya di dunia.

Kebanyakan harta keluarga itu dikawal oleh Biro Hartanah Diraja (CPB) yang merangkumi pemilikan hartanah dan pelaburan di syarikat utama dunia.

Semalam, undang-undang baru berhubung CPB yang diluluskan oleh Parlimen minggu lalu diumumkan sudah berkuat kuasa.

Perubahan itu memberi kuasa kepada Vajiralongkorn untuk melantik semua anggota jawatankuasa CPB.

Sebelum ini, pengerusi jawatankuasa itu adalah menteri kewangan bagi memastikan kawalan kerajaan terhadap aset berkenaan.

Kini, Vajiralongkorn secara bebas boleh melantik sesiapa yang disukainya untuk mengetuai jawatankuasa berkenaan.

Ini kali pertama undang-undang itu digubal dalam tempoh 69 tahun.

Raja Thailand mempunyai kuasa perlembagaan yang terhad tetapi di bawah pemerintahan Bhumibol pengaruhnya di belakang tabir politik dan ekonomi semakin kuat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2017 @ 3:43 AM