SEKUMPULAN lelaki menunaikan solat di sebelah Pintu Singa selepas enggan melalui peralatan keselamatan yang diletakkan di laluan masuk ke pekarangan Masjid Al-Aqsa. - EPA
Agensi

Baitulmaqdis: Parti Fatah pimpinan Presiden Mahmoud Abbas menggesa ‘Hari Kemarahan’ diadakan hari ini untuk memprotes langkah keselamatan Israel di Masjid al-Aqsa yang dikuatkuasakan selepas kejadian tembak di tempat suci itu, Jumaat lalu, yang menyebabkan lima kematian termasuk tiga lelaki Palestin.

Pertubuhan Palang Merah semalam berkata, sekurang-kurangnya 50 orang Palestin cedera dalam pertempuran sepanjang malam dengan polis Israel berhampiran Al-Haram Al-Sharif.

Menurutnya, sekurang-kurangnya empat paramedik cedera dan 15 lagi dibedil peluru getah.

Hamas dan pergerakan Jihad Islam turut menggesa protes diadakan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza bagi membantah langkah keselamatan diperkenalkan Israel, yang turut termasuk alat pengesan logam serta lawang putar di pintu masuk ke lokasi berkenaan.

Fatah turut menggesa supaya solat Jumaat diadakan di dataran awam di bandar-bandar Palestin sebagai mengutuk ‘prosedur pengganas’ dilaksanakan Israel di Baitulmaqdis Timur.

Juga sebagai tanda protes, orang Palestin mengadakan solat jemaah di luar pekarangan berkenaan sejak dibuka semula pada Ahad lalu selepas ditutup dua hari.

Solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa dibatalkan, minggu lalu, susulan serangan itu.

Mufti Besar Baitulmaqdis Mohammed Ahmed Hussein mengkritik langkah baru itu sebagai mengubah status quo dipersetujui di kawasan berkenaan yang memberikan orang Islam hak beribadah sepenuhnya di lokasi itu manakala orang Yahudi dibenarkan melawat tanpa beribadah.

Susulan itu, jurucakap polis Israel Micky Rosenfeld berkata dalam satu kenyataan, pasukan keselamatan mengusir Muslim yang melakukan solat di ruang masuk digelar Pintu Singa kerana menghalang lalu lintas.

Orang Palestin bimbang Israel berusaha merampas semula kawasan itu sepenuhnya menggunakan muslihat.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sebelum ini menegaskan dia tidak mahu mengubah status quo dijanjikan di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 10:46 AM