Skip this ad x
GAMBAR dari dokumentari mengenai kehidupan Diana menunjukkan William (kanan) dan Harry bercerita mengenai ibu mereka. - Agensi
Reuters

London: Putera William dan Harry menyuarakan rasa kesal mereka berkait dengan perbualan dengan ibu mereka, Puteri Diana sebelum kematiannya.

Dalam dokumentari berjudul ‘Diana, Our Mother: Her Life and Legacy’ (Diana, Ibu Kami: Kehidupan dan Legasinya) yang diterbitkan sempena dengan ulang tahun kematian puteri itu dalam kemalangan kereta di Paris pada 31 Ogos 1997, kedua-dua putera itu mendedahkan mereka berbual dengan mendiang sejurus sebelum kematiannya.

“Harry dan saya begitu tergesa-gesa untuk menamatkan perbualan, seperti berkata, ‘nanti kita jumpa.’ Sekiranya saya tahu apa akan terjadi, saya tidak akan tergesa-gesa menamatkan perbualan itu,” kata William.

Harry berkata: “Dia (Diana) menelefon dari Paris. Saya tidak ingat apa yang dibualkan tetapi yang saya tahu, saya akan kesal seumur hidup kerana perbualan itu begitu singkat.”

Penerbit eksekutif filem itu, Nick Kent berkata, dia percaya dokumentari itu mendedahkan sedikit sebanyak kehidupan peribadi Diana.

“Belum ada orang yang mendedahkan cerita ini dari pandangan mata dua putera itu yang lebih mengetahui dan paling menyayangi Diana,” kata Kent.

William dan Harry juga mengimbas sifat lucu ibu mereka dengan Harry menggambarkannya sebagai ‘antara ibu paling nakal.’

Kedua-dua beradik itu juga menceritakan derita mereka berikutan perceraian ibu bapa mereka dan cara mereka menangani berita mengenai kematian Diana dan menjalani kehidupan selepas itu.

Walaupun filem berkenaan menonjolkan aspek kehidupan Diana seperti kerja kebajikannya, ia tidak memberi tumpuan terhadap isu lain, seperti hubungannya dengan lelaki lain.

‘Diana, Our Mother: Her Life and Legacy’ akan disiarkan menerusi televisyen di Britain dan Amerika Syarikat pada 24 Julai ini.

Beberapa acara lain juga dirancang untuk memperingati kematiannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2017 @ 12:38 PM