PENDUDUK Palestin menunaikan solat di jalan raya di luar Masjid Al-Aqsa, semalam. - Reuters
PENDUDUK Palestin menunaikan solat di jalan raya di luar Masjid Al-Aqsa, semalam. - Reuters
Agensi

Baitulmaqdis: Ketegangan berterusan antara Israel dan penduduk Muslim Palestin di pekarangan Masjid Al-Aqsa semalam walaupun selepas rejim itu mengalihkan pengesan logam dengan kebimbangan kekacauan lebih besar minggu ini jika penyelesaian tidak dicapai.

Penduduk Palestin sehingga semalam masih enggan memasuki masjid berkenaan dan memilih untuk menunaikan solat di jalan raya di luar seperti yang dilakukan sejak lebih seminggu lalu selepas rejim itu memasang pengesan logam di pekarangan Al-Haram Al-Sharif.

Selain mengalihkan pengesan logam berkenaan rejim itu juga menanggalkan kamera yang dipasang. Bagaimanapun, pegawai Israel berkata, mereka akan menggantikannya dengan teknologi canggih, dipercayai kamera pintar dengan teknologi pengecaman muka.

Pagar besi yang dipasang di pintu masuk sebelum pengesan logam itu dialihkan juga masih kekal.

Pagar berkenaan dan cadangan memasang kamera pintar itu mendorong pemimpin Palestin dan Islam menggesa supaya bantahan diteruskan di kawasan berkenaan.

Gesaan itu dipatuhi oleh jemaah yang datang untuk bersolat.

“Kami tiba jam 6 pagi dan pulang selepas solat Isyak kira-kira jam 10 malam,” kata Umm Maath dari Nazareth di utara Israel yang datang bersama sekumpulan penduduk untuk menunaikan solat di luar masjid berkenaan sebagai membantah tindakan Israel itu.

“Kami membantah pengesan logam itu. Kami membantah kamera pintar yang hendak dipasang. Kami membantah semua sekatan yang hendak dilakukan rejim Israel,” katanya.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang mengumumkan pembekuan hubungan dengan Israel minggu lalu berikutan kekacauan yang meletus berkata, langkah itu akan diteruskan sehingga kawasan itu kembali seperti sebelum krisis meletus.

Sementara itu, tindakan biadap puluhan penceroboh Yahudi di Hebron, Tebing Barat meningkatkan lagi ketegangan.

Penceroboh Yahudi berkenaan menawan sebuah bangunan berhampiran Masjid Ibrahim dan mengibarkan bendera Israel. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2017 @ 12:30 PM