SEBUAH kapal tentera laut Russia yang menyertai perarakan di Sungai Neva di St Petersburg, semalam. - EPA
Agensi

Saint Petersburg: Russia semalam mempamerkan kekuatan tentera lautnya dengan perarakan 50 kapal perang dan kapal selam di sepanjang Sungai Neva dan di Teluk Finland di luar pantai Saint Petersburg, bandar raya kedua terbesarnya.

Perarakan besar-besaran itu diarahkan sendiri oleh Presiden Vladimir Putin.

“Hari ini, banyak sudah dilakukan untuk membangun dan memodenkan tentera laut. Pasukan ini bukan sahaja menangani cabaran tradisionalnya tetapi juga bertindak untuk menghadapi cabaran baru, memberi sumbangan penting terhadap usaha menentang keganasan dan kegiatan lanun,” kata Putin ketika berucap merasmikan majlis itu.

Perarakan kekuatan tentera laut Russia itu adalah yang terbaru dalam usaha Putin mempamerkan kekuatan tentera negara itu ketika hubungan dengan Barat semakin buruk berikutan campur tangannya di Ukraine.

Perarakan juga diadakan di beberapa pangkalan tentera laut Russia, termasuk di Tartus, Syria, tempat kapal perang negara itu memainkan peranan penting dalam kempen pengeboman bagi membantu rejim Presiden Bashar al-Assad.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 6:46 AM