DUA penduduk memeriksa kawasan serangan, semalam. - Reuters
Agensi

Herat: Tiga puluh orang, termasuk kanak-kanak terbunuh dan 64 cedera selepas sekumpulan lelaki melontarkan bom tangan sebelum meletupkan diri mereka di dalam sebuah masjid Syiah di barat Afghanistan, lewat malam kelmarin.

Daish semalam mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian di bandar Herat yang bersempadan dengan Iran itu.

Ia berlaku sehari selepas kumpulan berkenaan berkata, mereka yang melancarkan serangan terhadap atas kedutaaan Iraq di Kabul yang menyebabkan dua orang mati.

Syiah, penduduk minoriti yang berjumlah kira-kira tiga juta orang di Afghanistan sering menjadi sasaran Daish sejak tahun lalu.

Seorang penduduk, Farhad Dost berkata, polis tidak bertindak untuk menghalang penyerang berkenaan atau membantu mangsa selepas serangan semalam.

“Pos pemeriksaan polis hanya kira-kira 100 meter dari masjid. Mereka langsung tidak cuba menghalang penyerang itu, sebaliknya melarikan diri sebaik mendengar letupan,” kata Dost yang kehilangan beberapa anggota keluarga dalam serangan itu.

Penduduk tempatan kemudian bertempur dengan polis dan membakar pos pemeriksaan itu, menyebabkan polis melepaskan tembakan, mencederakan bebeberapa penunjuk perasaan.

Seorang lagi penduduk, Farhad Afshar berkata, dia bergegas ke masjid selepas mendengar letupan.

“Saya melihat masjid itu dipenuhi darah dan sisa mayat.

“Saya melihat seorang wanita meraung sambil mencari dua anaknya. Dia menemui mayat seorang daripada mereka di dalam masjid itu, mayat seorang lagi di dalam ambulans,” kata Farhad.

Berdasarkan cerita saksi, Farhad berkata, penyerang mulanya melepaskan tembakan, menyasarkan jemaah yang bersiap sedia untuk solat Isyak. Mereka kemudian melontarkan bom tangan sebelum akhirnya meletupkan diri di dalam masjid itu.

Saksi berkata, keadaan bercelaru selepas kejadian itu dengan wad kecemasan di hospital penuh sesak.

Sebahagian mangsa dihantar ke hospital oleh penduduk dengan kereta sendiri. Ada juga yang berjalan kaki untuk menghantar mangsa.

“Ambulans tidak cukup. Saya cuba menghantar seorang kanak-kanak kecil ke hospital tetapi dia meninggal dunia dalam dakapan saya,” kata Ali, antara mangsa yang terselamat.

Jurucakap gabenor Herat, Jilani Farhad berkata, angka kematian mungkin meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 8:35 AM