Andrew Wilson, 19 (kiri) didakwa membunuh ibunya, Lisa Marie Wilson, 51 (kanan). - Foto Daily Mail
Agensi

SEORANG remaja berusia 19 tahun menembak mati ibunya ketika mangsa sedang tidur di Michigan, hanya kerana tidak dibenarkan memelihara anak anjing, hujung minggu lalu.

Menurut Daily Mail yang memetik laporan Lansing State Journal, Andrew Wilson dihadapkan ke mahkamah semalam, untuk menghadapi tuduhan membunuh ibunya, Lisa Marie Wilson, 51, ketika mangsa sedang tidur di rumah mereka di Wheatfield Township, awal pagi Sabtu lalu.

Menurut polis, remaja itu menghubungi talian kecemasan 911 kira-kira 7 pagi, melaporkan menemui mayat ibunya sebaik pulang ke rumah.

Polis menemui mayat wanita berkenaan dalam bilik tidurnya dengan satu kesan tembakan di belakang kepala.

Remaja itu ditahan selepas siasatan mendapati tiada orang lain dalam rumah berkenaan kecuali wanita berkenaan dan anaknya pada malam kejadian.

Polis mendapati sehari sebelum kejadian, wanita itu memberitahu anaknya itu dia perlu menempatkan anak anjing yang ditemuinya di rumah bapa remaja itu di Dansville.

Remaja itu kemudian mengaku kepada polis mengambil senapang .22 Magnum dari tempat simpanan, masuk ke dalam bilik ibunya dan menembak wanita itu.

Andrew kemudian memandu di sekitar kawasan berkenaan untuk membuat senapang itu namun ia kemudian ditemui polis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 5:50 PM