Gerakan mencari James Spoonamore, 5, yang kemudian didapati dibunuh Lonnie Belt, 41. - Foto Daily Mail
Agensi

SEORANG lelaki didakwa hari ini kerana membunuh budak lelaki lima tahun selepas membelasah dan mengikat ibu mangsa sebelum menolak wanita itu ke dalam gaung, hujung minggu lalu.

Wanita itu bagaimanapun, terselamat dan ditemui dua pendaki yang menghubungi polis. Pihak berkuasa melancarkan gerakan mencari selama dua hari sebelum menemui mayat budak itu berdekatan kawasan ibunya dibiarkan untuk mati.

Lonnie Belt, 41, yang didakwa membunuh budak itu, James Spoonamore, juga menghadapi tuduhan menyerang, menculik dan memusnahkan bukti.

Wanita terbabit, Jessica Durham, kini dirawat di sebuah hospital di Lexington.

Menurut Daily Maiol yang memetik laporan Washington Post, Pesuruhjaya Polis Negeri Kentucky, Rick Sanders, berkata pihaknya belum tahun punca kematian budak itu dan sedang menunggu laporan bedah siasat.

Difahamkan, lelaki itu dan Jessica adalah kenalan dan mereka bergaduh mengenai wang sebelum Lonnie memukul kepala wanita berkenaan, mengikat dan membawanya ke gaung berkenaan.

Menurut polis, lelaki itu sekali lagi memukul Jessica sebelum mencampaknya ke dalam gaung sedalam kira-kira 26 meter sebelum dia ditemui dua pendaki Ahad lalu.

Menurut polis, ketika wanita itu diserang di gaung berkenaan, anaknya berada bersamanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 7:13 PM