HALIMAH

Singapura: Rakyat Singapura semalam melahirkan kekecewaan berhubung proses pemilihan presiden negara itu yang dianggap tidak bermakna kerana tiada pilihan raya diadakan.

Bekas Speaker Parlimen, Halimah Yacob bakal diisytiharkan secara rasmi sebagai presiden wanita pertama negara itu hari ini selepas penamaan calon ditutup.

Halimah, 63, menjadi satu-satunya calon selepas dua lagi pencabarnya dianggap tidak layak bertanding oleh jawatan kuasa pemilihan presiden.

Keputusan itu menjadikan Halimah menang tanpa bertanding dan pilihan raya yang dijadual pada 23 September ini tidak diadakan.

“Semua rakyat tidak gembira kerana meritokrasi dan keadilan pilihan raya yang menjadi teras nilai Singapura, tercemar bagi memenuhi matlamat politik,” kata penulis dan pengulas politik, Sudhir Thomas Vadaketh.

Pengguna media sosial juga melahirkan kekecewaan dengan seorang pengguna, Hussain Shamsuddin berkata, “Sebagai rakyat sebuah negara demokratik, saya sangat malu.”

“Jangan kata ia pilihan raya sekiranya kami, rakyat Singapura tidak boleh mengundi,” kata Fazly Jijio Din Facebook.

Ini bukanlah kali pertama jawatan presiden dipilih tanpa bertanding dan sekiranya ada pilihan raya, calon pilihan sentiasa menang. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 9:27 AM