Halimah Yacob di samping suaminya, Mohammed Abdullah Alhabshee, melambai kepada penyokongnya di pusat penamaan calon di Singapura hari ini, sebelum diumumkan menang tanpa bertanding untuk pemilihan Presiden Singapura. - Foto AFP
Agensi

BEKAS Speaker Parlimen, Halimah Yacob, diisytiharkan Presiden Singapura hari ini, wanita pertama menjawat jawatan berkenaan selepas pihak berkuasa pilihan raya negara itu mengumumkan beliau menang tanpa bertanding.

"Saya presiden untuk semua. Walaupun tiada pilihan raya, tanggungjawab saya bertugas untuk berkhidmat kepada rakyat tetap sama,” katanya.

Menurut Reuters, Singapura memutuskan presiden kali ini dikhaskan untuk rakyatnya yang berketurunan Melayu dan tugas Halimah, 63, Ahli Parlimen Parti Tindakan Rakyat sejak dua dekad lalu, sebagai speaker melayakkannya sebagai calon presiden secara automatik.

Empat pemohon menghantar permohonan namun dua tidak layak kerana bukan berketurunan Melayu manakala dua lagi, ahli perniagaan Melayu, tidak layak kerana syarikat mereka kecil berbanding syarat pilihan raya yang ditetapkan tahun lalu.

Presiden Melayu terakhir di Singapura ialah Yusof Ishak yang potretnya kini menghiasi wang kertas negara itu.

Yusof menjadi presiden antara 1965 hingga 1970.

Sementara itu, AFP melaporkan rakyat Singapura mengkritik pemilihan Halimah tanpa pilihan raya yang dianggap tidak demokratik.

Media sosial dipenuhi kritikan, antaranya pengguna Facebook, Pat Eng menulis: “Seperti jenaka dipilih tanpa pilihan raya.”

Seorang lagi pengguna, Joel Kong, menulis: “Saya akan memanggilnya Presiden Pilihan mulai sekarang manakala ada yang menggunakan hashtag #NotMyPresident - seperti digunakan rakyat Amerika Syarikat selepas Presiden Donald Trump menjadi presiden.

Dalam ucapannya hari ini, Halimah menegaskan statusnya sebagai presiden wanita pertama Singapura yang mempunyai 5.5 juta penduduk bukan ‘hanya sebagai token’.

“Setiap wanita boleh mencapai jawatan tertinggi di negara ini jika anda mempunyai ketabahan, keazaman dan bersedia bekerja keras,” katanya.

Antara kuasa terhad Presiden Singapura ialah hak veto perlantikan pegawai kanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 4:29 PM