Kasihan melihat kanak-kanak Rohingya ini menunggu makanan diedarkan kepada mereka di depan masjid di Cox's Bazar, Bangladesh. - Foto REUTERS
AFP

TUJUH mayat dipercayai pelarian Rohingya ditemui terdampar di pantai Bangladesh, hari ini, menjadikan 99 pelarian etnik Rohingya mati lemas ketika melarikan diri dari Rakhine, Myanmarm sejak 25 Ogos lalu.

Pemerintah Pengawal Sempadan Bangladesh, Leftenan Kolonel SM Ariful Islam, berkata kanak-kanak antara tujuh mayat yang ditemui itu.

Menurutnya, kanak-kanak terbabit adalah mangsa bot pelarian Rohingya karam malam Selasa lalu, dekat perkampungan Shah Porir Dwip di muara Sungai Naf yang memisahkan Bangladesh dengan Myanmar.

Beliau berkata, mayat lain yang sudah reput berkemungkinan dari bot lain yang karam.

Setiap hari ada bot yang sarat membawa pelarian Rohingya tiba di Bangladesh, sama ada menyeberang Teluk Benggala atau Sungai Naf.

Timbalan Ketua Polis daerah Cox's Bazar, Humayun Rashid, berkata sebahagian besar daripada 99 yang ditemui lemas adalah kanak-kanak.

“Majoriti mangsa lemas adalah kanak-kanak, ada yang mempunyai kesan tembakan,” katanya.

Sejak dua minggu lalu, sekurang-kurangnya enam bot yang sarat dengan pelarian karam.

SM Ariful berkata, bot yang digunakan adalah bot kecil menangkap ikan yang tidak sesuai mengharungi ombak besar di teluk berkenaan atau muara Sungai Naf.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 9:48 PM