AFP

Manila: Wakil rakyat di dewan rendah Filipina meluluskan usul untuk memotong bajet kepada agensi hak asasi manusia negara itu dan memecat ketua hakim Mahkamah Agung.

Dua usul di Dewan Perwakilan pada lewat kelmarin itu menambahkan lagi kebimbangan bahawa Duterte bertekad menutup mulut sesiapa yang mengkritik kempen memerangi dadah yang dilancarkannya.

Bajet tahunan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dipotong daripada 678 juta peso (RM55.8 juta) setahun kepada 1,000 peso (RM82) setahun.

Langkah itu diambil susulan siasatan suruhanjaya itu terhadap pembunuhan dalam operasi dadah oleh polis dan kritikan daripada pengerusinya.

Suruhanjaya itu antara beberapa badan bebas kerajaan yang ditubuhkan Perlembagaan untuk mengawasi kuasa eksekutif yang mengawal polis dan tentera.

Mahkamah Agung ditubuhkan sebagai satu pelindung.

Penyokong Duterte di jawatan kuasa keadilan di dewan rendah juga meluluskan untuk memecat ketua hakim Mahkamah Agung selepas memutuskan tuduhan rasuah terhadapnya mempunyai asas.

Ketua Hakim itu, Maria Lourdes Sereno antara pengkritik lantang kempen memerangi dadah yang meragut nyawa ribuan suspek.

Sementara itu, penentang dan penyokong Duterte di Dewan Senat berikrar untuk menghalang keputusan Dewan Perwakilan memotong bajet suruhanjaya.

Naib Presiden Filipina, Leni Robredo yang juga pengkritik Duterte berkata, langkah Dewan Perwakilan itu seperti membubarkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, satu badan perlembagaan.

Beberapa penyokong Duterte di Senat memberitahu, mereka akan meneliti keputusan dewan rendah itu dan cuba memastikan suruhanjaya itu mendapat bajet yang mencukupi untuk bekerja dengan sempurna.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 10:07 AM