ANGGOTA penyelamat membawa seorang wanita yang cedera selepas terperangkap di celah runtuhan. - AFP
SEORANG mangsa yang terselamat dibawa ke hospital untuk rawatan. - AFP
GAMBAR disiarkan pejabat Presiden Enrique Pena Nieto menunjukkan orang ramai dan anggota penyelamat mencari mangsa di dalam runtuhan Sekolah Rendah Enrique Rebsamen di mana mayat sekurang-kurangnya 21 kanak-kanak ditemui. - AFP
AFP

Mexico City: Sekurang-kurangnya 217 orang terbunuh apabila gempa bumi kuat berukuran 7.1 magnitud melanda Mexico kelmarin, termasuk 21 kanak-kanak yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan sekolah rendah.

Bencana lewat Selasa (waktu tempatan) itu berlaku hanya beberapa jam selepas pihak berkuasa menjalankan latihan gempa bumi pada ambang ulang tahun kejadian sama seumpamanya pada 1985 yang mengorbankan sekurang-kurangnya 10,000 orang.

Antara tempat paling teruk terkesan Sekolah Rendah Enrique Rebsamen di selatan Mexico City, yang ranap sepenuhnya menyebabkan murid dan guru tertimbus.

Dua puluh satu kanak-kanak dan lima dewasa maut di sekolah untuk budak berusia antara tiga hingga 14 tahun itu, kata jurucakap tentera laut Mexico, Mejar Jose Luis Vergara, yang menyelaraskan usaha menyelamat membabitkan beratus-ratus askar, polis, sukarelawan serta anjing pengesan.

Menurutnya, sehingga petang semalam, antara 30 hingga 40 orang terperangkap di dalam runtuhan, manakala 11 kanak-kanak berjaya diselamatkan.

Katanya, pekerja kecemasan menemui seorang guru dan muridnya terselamat di bawah runtuhan dan cuba mengeluarkan mereka. Oksigen disalurkan kepada kanak-kanak itu melalui tiub sementara kerja menyelamat dijalankan.

Bagaimanapun keadaan masih berbahaya, malah pada lewat malam sebahagian bangunan berkenaan runtuh ketika pasukan penyelamat melakukan pencarian.

Presiden Mexico, Enrique Pena Nieto yang bergegas ke tempat kejadian, memberi amaran angka kematian mungkin meningkat.

“Malangnya, ramai yang terkorban termasuk kanak-kanak. Ramai orang berada di dalam sekolah, bangunan dan rumah ketika kejadian,” katanya dalam ucapan yang disiarkan media.

Selain Mexico City, mangsa turut terbunuh di Puebla, Morelos dan Guerrero, kata Menteri Dalam Negeri, Miguel Osorio Chong.

Bencana itu berlaku hanya 12 hari selepas gempa bumi yang mengorbankan hampir 100 orang dan menyebabkan lebih 200 lagi cedera, kebanyakannya di Oaxaca serta Chiapas.

Penduduk, Leiza Visaj Herrera, 27, menggambarkan gempa bumi itu sebagai ‘sangat dahsyat.’

“Memang keadaan menjadi huru-hara. Orang ramai yang panik bertempiaran lari menyelamatkan diri,” katanya.

Di beberapa lokasi, orang ramai memanjat di atas bangunan yang runtuh untuk membantu menarik keluar mangsa yang terperangkap.

Pekerja kecemasan turut memasang papan tanda mengarahkan orang ramai senyap supaya kru dapat mendengar suara mangsa yang masih hidup.

Warga Sepanyol, Jorge Lopez, 49, yang menetap di Mexico City berkata, dia bergegas ke sekolah anaknya di tengah daerah Roma dan mendapati ia runtuh, namun anaknya terselamat.

“Saya tiba di sekolah berkenaan dan mendapati semua orang menangis serta panik, manakala kanak-kanak sedang berpaut pada tali,” katanya.

Di satu bangunan di daerah Roma, orang ramai cuba menggali runtuhan untuk mencari mangsa sementara menunggu ketibaan jentera berat untuk mengalihkan batu besar.

Lapangan terbang Mexico City ditutup lebih tiga jam susulan kejadian itu. Pasaran saham juga ditutup.

Penduduk yang rumah mereka rosak dalam kejadian bermalam di jalan atau taman kerana bimbang struktur kediaman yang tidak stabil mengancam nyawa sekiranya berlaku gegaran susulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 9:38 AM