X
KEADAAN bayi kembar siam di India yang dilahirkan bercantum di bahagian bawah badan. - Agensi
KEADAAN bayi kembar siam di India yang dilahirkan bercantum di bahagian bawah badan. - Agensi

Lucknow (India): Seorang wanita yang melahirkan anak kembar siam secara normal menghilangkan diri selepas doktor memintanya kembali ke hospital untuk menjalani pembedahan bagi memisahkan bayi itu.

Wanita berusia 32 tahun itu melahirkan bayi kembar siam berkenaan di Hospital Bhawani Prasad di negeri Uttar Pradesh pada 2 September lalu.

Dr Rahul Aggarwal yang menyambut kelahiran bayi itu berkata, wanita berkenaan tidak tahu dia mengandung anak kembar kerana tidak pernah membuat imbasan ultrabunyi.

“Wanita itu melahirkan anak berkenaan dalam tempoh sejam.

“Melahirkan bayi kembar siam terutama sekali bercantum di bahagian badan secara normal adalah sangat mencabar dan sangat jarang berlaku,” katanya.

Menurutnya, bayi itu berkongsi satu tali pusat dan masing-masing mempunyai organ penting yang lengkap.

Bagaimanapun, jantina bayi itu tidak dapat diketahui kerana mereka perlu menjalani pembedahan pemisahan.

“Ibu dan bayi itu berada dalam keadaan sihat dan kami membenarkannya pulang sementara ke rumah.

“Bayi itu saya rujuk ke Institut Sains Perubatan Seluruh India di New Delhi untuk pembedahan tetapi wanita itu tidak dapat dihubungi,” jelasnya.

Menurutnya, dia bimbang sekiranya bayi itu tidak dibawa ke hospital mereka mungkin berdepan komplikasi kesihatan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 9:49 AM