Sebastian Kurz ketika mengisytiharkan kemenangan partinya di Vienna, hari ini.
Agensi

SEBASTIAN Kurz, 31, Menteri Luar Austria yang juga pemimpin Parti Rakyat bakal menjadi ketua negara termuda di Eropah selepas mengisytiharkan kemenangan partinya hari ini, dalam pilihan raya umum negara berkenaan.

Parti Rakyat sudah memenangi lebih 31 peratus kerusi selepas 90 peratus undi dikira dan berikutan kekurangan majoriti, parti berkenaan dijangka membentuk kerajaan dengan parti lain, termasuk Parti Kebebasan yang memperjuangkan anti-imigran dan Demokrat Sosial yang bersaing di tempat kedua.

Pada usia 31 tahun, Kurz yang digelar ‘Wunderwuzzi’ bermaksud ‘Wonderkid (Budak Hebat)’ akan menjadi ketua negara termuda selepas Vanessa D'Ambrosio, 28, (San Marino). Beliau berusia dua tahun lebih muda berbanding pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Antara agenda diperjuangkan partinya ialah bayaran maksimum 540 euro kepada pelarian, tiada cukai untuk harta warisan, gaji minimum 1,500 euro serta pemotongan cukai pendapatan untuk pendapatan tahunan sehingga 60,000 euro.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 7:49 PM