MODEL Toyota 86. FOTO ihsan Toyota
Agensi

SYARIKAT automotif Jepun, Toyota Motor Corp mendapat tempat pertama dalam senarai majalah Consumer Reports bagi kenderaan boleh dipercayai.

Menurut Reuters, Toyota tersenarai di tempat pertama buat lima kali berturut-turut.

Bagi kajian tahun ini, 14 model Toyota dikaji dan model Toyota 86 mencatat ranking paling tinggi dengan skor purata 80 markah berbanding model lain.

Ranking bagi 2018 yang dikeluarkan minggu lalu berdasarkan purata Skor Ramalan Kebolehpercayaan bagi barisan kenderaan setiap jenama.

Lexus berada di tempat kedua, diikuti Kia, Audi dan BMW.

Kajian tahunan berhubung kebolehpercayaan kenderaan baru itu digunakan untuk meramalkan kestabilan penggunaan kepada pemiliknya.

Kajian ini berpengaruh dalam kalangan pengguna dan eksekutif industri permotoran.

Menurut kaji selidik 640,000 kenderaan itu, model serba baru atau kenderaan yang mengandungi teknologi baru lebih cenderung menghadapi masalah enjin, transmisi atau teknologi yang gagal.

Manakala kereta elektrik yang kebanyakannya tidak mempunyai sistem mekanikal seperti dalam kereta lama mendorong lebih banyak aduan pengguna berbanding kereta konvensional, kata majalah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 8:32 PM