Sean Sykes Jr, 24.
Agensi

PEGAWAI penyiasat polis di Kansas City, Amerika Syarikat, terpaksa menghentikan soal siasat seorang lelaki yang ditahan kerana kes dadah dan senjata api selepas lelaki itu kentut tidak berhenti-henti.

Lelaki itu, Sean Sykes Jr, 24, ditahan 1 September lalu, dan polis menemui beg sandang mengandungi dadah dan dua pistol, termasuk satu .357 Magnum yang dilaporkan hilang beberapa hari sebelum itu.

Namun, ketika soal siasat, lelaki itu asyik kentut memaksa pegawai penyiasat memberhentikan soal siasat.

Menurut BBC yang memetik laporan akhbar Kansas City Star, dalam laporannya pegawai penyiasat berkenaan berkata ‘Dia mengiring di atas kerusi dan kentut dengan kuat apabila saya bertanya alamatnya’.

“Sykes berterusan kentut menyebabkan saya memberhentikan soal siasat itu,” tulis detektif berkenaan dalam laporannya.

Polis kemudian membebaskannya dan tidak mengenakan sebarang dakwaan terhadapnya.

Namun, lelaki itu ditahan sekali lagi bulan ini, kerana memiliki pistol, marijuana serta kokain dan kali ini dia tiada helah untuk melepaskan diri.

Sykes dihadapkan ke mahkamah hari ini, dan ditahan sehingga mahkamah menentukan ikat jaminnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 10:57 PM