Gambar Juli Briskman menunjukkan isyarat biadap ketika konvoi kenderaan Trump lalu berhampirannya di Virginia, 28 Oktober lalu, yang tular.
AFP

SUMBANGAN berjumlah lebih AS$70,000 (RM293,285) sudah terkumpul melalui laman web mengumpul dana untuk penunggang basikal yang dipecat kerana membuat isyarat biadap ke arah konvoi kereta Presiden Donald Trump.

Lebih 3,000 sumbangan yang menyumbang antara AS$5 (RM21) hingga AS$250 (RM1,047) diterima sejak 6 November lalu, selepas kempen GoFundMe ditubuhkan bagi pihak Juli Briskman.

Perbuatan Juli menunjukkan isyarat jari tengahnya dirakam jurugambar media ketika konvoi Trump lalu berhampirannya pada 28 Oktober lalu, dari Padang Golf Kebangsaan Trump di Sterling, Virginia.

Selepas gambar itu tular di media sosial, eksekutif pemasaran berusia 50 tahun itu dipecat syarikatnya, Akima, kontraktor kerajaan.

“Terima kasih Juli Briskman,” tulis Rob Mello yang menubuhkan akaun GoFundMe itu.

Menurut Mello melalui laman web itu, semua wang itu disalurkan kepada Juli.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 8:17 PM