Pasukan penyelamat menggunakan jentera berat bagi mencari mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan di Pole-Zahab, wilayah Kermanshah. - Foto EPA
Reuters

IRAN menghentikan operasi menyelamat mangsa gempa bumi hari ini, dengan jumlah korban bencana itu disahkan sekurang-kurangnya 530 orang manakala lebih 8,000 lagi cedera.

Menurut agensi berita rasmi Iran, IRNA, Ketua Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Iran, Pir-Hossein Kolivand, berkata: “Operasi menyelamat di wilayah Kermanshah dihentikan kerana tiada harapan menemui mangsa yang masih hidup.”


Pasukan penyelamat mengusung mayat mangsa yang ditemui di Pole-Zahab, wilayah Kermanshah. - Foto EPA

Gempa bumi 7.3 magnitud itu melanda kawasan pergunungan di wilayah Kermanshah yang bersempadan dengan Iraq, kelmarin,

ketika penduduk tidur.

Presiden Iran, Hassan Rouhani yang melawat kawasan terjejas di Kermanshah, berjanji menggunakan apa saja sumber untuk menyelesaikan masalah mangsa yang kehilangan tempat tinggal serta menghadapi musim sejuk.


Khemah di kawasan penempatan sementara mangsa gempa bumi di Sare Pole-Zahab, wilayah Kermanshah, Iran. - Foto EPA

Gempa bumi itu adalah yang terburuk di Iran dalam tempoh 10 tahun. Lebih 30,000 rumah musnah atau rosak dengan dua kampung musnah sama sekali.

Menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Iran, tempat tinggal sementara sudah disediakan untuk ribuan mangsa namun kekurangan bekalan air dan elektrik manakala jalan raya yang tersekat menyukarkan usaha menghantar bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 10:06 PM