DUA wanita berswafoto dengan gambar anjing peliharaan mereka ketika upacara pembakaran bangkai haiwan itu di sebuah kuil di Bangkok. - AFP
AFP

Bangkok: Perkhidmatan upacara mewah untuk pembakaran bangkai haiwan kesayangan, lengkap dengan bacaan mantera diketuai sami Buddha kini semakin popular di Thailand.

Ramai pemilik haiwan kesayangan juga percaya dengan mengadakan upacara seperti itu peluang haiwan berkenaan dilahirkan semula lebih tinggi.

Trend itu bukan sesuatu yang baru kerana penduduk di Jepun juga sering mengadakan upacara pengebumian mewah untuk haiwan kesayangan mereka.

Namun, di Bangkok, amalan itu semakin popular kerana kebanyakan penduduknya menganggap haiwan kesayangan mereka sebagai keluarga sendiri.

Sekurang-kurangnya tiga kuil di negara itu menawarkan perkhidmatan upacara pembakaran bangkai haiwan kesayangan termasuk upacara diketuai sami dan menabur abu di sungai.

Pengasas Pet Funeral Thailand, Theerawat Sae-Han berkata, syarikatnya membakar lebih 200 haiwan setiap bulan termasuk kucing, anjing, cicak, ular dan babun.

“Haiwan yang berjaya atau popular seperti ayam sabung yang memenangi anugerah juga dihantar untuk dibakar,” katanya.

Theerawat sebelum ini mengusahakan salun haiwan kesayangan tetapi beralih kepada perniagaan itu sejak empat tahun lalu yang semakin mendapat permintaan tinggi.

Untuk setiap upacara pembakaran, Theerawat mengenakan bayaran bermula 3,000 baht (RM372) dengan pakej mewah mencecah 100,000 baht (RM12,600).

Seorang sami di kuil Wat Krathum Suea Pla, Phrakru Samu Jumpol memberitahu, sebelum ini bangkai haiwan ditanam di taman yang dibenarkan atau di halaman rumah.

“Namun, kini sukar mencari tanah untuk menanam haiwan di Bangkok,” ujarnya.

Kuil itu bekerjasama dengan syarikat Theerawat dan kini mempunyai kawasan untuk menjalankan upacara berkenaan serta tempat pembakaran bangkai haiwan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 9:39 AM