DAPHNE Caruana Galizia. FOTO Reuters
AFP

Valletta (Malta): Tiga lelaki didakwa atas tuduhan membunuh seorang wartawan dan blogger terkemuka Malta, yang maut dalam pengeboman kereta di pulau Mediterranean itu pada 16 Oktober lalu.

Daphne Caruana Galizia, 53, tokoh terkenal negara itu yang giat mendedahkan kegiatan jenayah dan rasuah di negara itu menerusi penulisan di blognya.

Kematiannya dalam pengeboman itu mencetuskan kemarahan antarabangsa dan tempatan.

Tiga warga tempatan itu, dua beradik George dan Alfred Degiorgio, masing-masing berusia 55 serta 53 tahun selain Vincent Muscat, 55, mengaku tidak bersalah.

Mereka didakwa menghasilkan bom, membunuh dan merancang jenayah dengan memiliki bahan letupan.

Mereka antara 10 orang ditahan dalam operasi Isnin lalu. Tujuh yang lain dibebaskan dengan jaminan polis.

Kebanyakan penulisan terbaru Daphne sebelum kematiannya tertumpu kepada kebocoran data maklumat Kertas Panama yang mendedahkan mengenai peningkatan rasuah di negara berkenaan.

Laporan paling beraninya termasuk dakwaan mengatakan anggota parti Perdana Menteri Joseph Muscat mendapat manfaat daripada kegiatan rasuah diperoleh menerusi urusan perniagaan dan skim pelaburan pasport.

Kerajaan Parti Buruh Muscat menawarkan ganjaran satu juta euro (RM4.9 juta) untuk maklumat yang membawa kepada penangkapan pembunuh Daphne. Bagaimanapun, anak lelaki mangsa mengecam ganjaran itu sebagai satu publisiti dan mendesak Muscat meletak jawatan kerana gagal melindungi ibunya dan cuba mendiamkannya dengan mengenakan tindakan undang-undang terhadapnya sewaktu mangsa masih hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 8:37 AM