Skip this ad x
Tentera Israel menahan remaja Palestin yang menyertai bantahan di Hebron, Tebing Barat, hari ini. Seramai 31 penduduk Palestin cedera akibat ditembak tentera Israel sejak semalam. - Foto EPA
Agensi

KETIKA Israel menambah jumlah anggota polis di kawasan didudukinya di Tebing Barat serta Baitulmaqdis, 31 penduduk Palestin cedera dalam pertempuran dengan polis dan tentera Israel sejak semalam, ketika melakukan bantahan.

Menurut maklumat pasukan perubatan, seramai 31 penduduk Palestin cedera akibat ditemba tentera Israel, sama ada menggunakan peluru getah atau peluru hidup.

AFP melaporkan, jurucakap polis Israel, Micky Rosenfeld, berkata ratusan anggota polis tambahan ditempatkan di Kota Lama atau Baitulmaqdis Timur yang meliputi Masjdil al-Aqsa serta ramai dihuni penduduk Palestin.

Bagaimanapun tiada ketegangan di Kota Lama Baitulmaqdis atau dipanggil Al-Quds oleh penduduk Palestin, hari ini.

Hamas, sayap bersenjata Palestin yang mentadbir Semenanjung Gaza menyeru hari ini dijadikan ‘hari kemarahan’ selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Sementara itu, menurut Reuters, pergerakan Hezbollah di Lubnan, menyeru penduduk Palestin melancarkan intifada baru.

Pemimpin pergerakan itu, Sayyed Hassan Nasrallah, dalam ucapannya melalui televisyen berkata: “Kami menyokong seruan intifada baru Palestin dan meningkatkan bantahan.

“Ini adalah tindak balas amat penting dan terbesar terhadap keputusan Amerika.

“Penduduk Palestin kini berdiri di barisan depan mempertahankan Baitulmaqdis dan kesuciannya.”

Hezbollah yang disokong Iran, dianggap Israel sebagai ancaman terbesarnya.

Pergerakan itu berperang dengan Israel pada 2006 yang menyaksikan kira-kira 1,200 penduduk Lubnan, sebahagian besarnya orang awam terbunuh dan 160 tentera Israel maut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 6:39 PM