Antara peserta yang hadir pada Himpunan Putih Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis di Dataran Masjid Putra, Putrajaya. Perhimpunan besar-besaran bantahan terhadap keputusan kerajaan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
BERNAMA

RAKYAT Palestin semalam mengalu-alukan resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menolak pengiktirafan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkaitan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, lapor agensi berita China Xinhua.

Nabil Abu Rdineh, jurucakap Presiden Palestin Mahmoud Abbas, dalam satu kenyataan menyebut resolusi itu menzahirkan sokongan masyarakat antarabangsa terhadap hak-hak rakyat Palestin.

“Ancaman Trump kepada anggota PBB tidak menghalang mereka daripada mengundi untuk menyokong resolusi itu,” kata Abu Rdineh.

Trump mengancam untuk menghentikan bantuan kewangan kepada negara yang mengundi menyokong resolusi itu.

Resolusi itu mengulangi fakta bahawa perjuangan rakyat Palestin adalah wajar dan mendapat sokongan luar biasa masyarakat antarabangsa, katanya.

“Deklarasi Trump tidak akan pernah mengubah hakikat bahawa Baitulmaqdis adalah sebuah wilayah yang diduduki dan oleh itu, undang-undang antarabangsa adalah terpakai di kawasan itu,” katanya.

Semalam, satu resolusi yang menggesa Washington menggugurkan pengiktirafannya berkaitan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel diluluskan dalam sidang tergempar khas Perhimpunan Agung PBB yang dianggotai 193 negara, dengan 128 undi menyokong, sembilan menentang dan 35 berkecuali.

Resolusi itu menegaskan pendirian tetap PBB berhubung kedudukan kota suci itu sejak 1967.

Pendirian itu menyatakan bahawa status muktamad Baitulmaqdis hendaklah diputuskan menerusi rundingan terus antara Israel dan Palestin.

Sementara itu, Pergerakan Islam Hamas dalam satu kenyataan menyebut, undian itu berada “di landasan yang betul dan satu kemenangan untuk rakyat Palestin.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 7:46 PM