Qu Sinian membuat kerja sekolah di tepi jalan raya di atas jejambat dekat bilik sewa keluarganya di Guiyang, China. - Foto Daily Mail
Qu Sinian membuat kerja sekolah di tepi jalan raya di atas jejambat dekat bilik sewa keluarganya di Guiyang, China. - Foto Daily Mail
Agensi

WALAUPUN mengulang kaji pelajaran dan membuat kerja sekolah di atas jejambat setiap hari kerana rumahnya gelap, seorang murid tahun dua di China mendapat A dalam semua mata pelajaran.

Setiap hari, ibu budak itu yang ada masalah kesihatan, menemani anaknya, Qu Sinian, di atas jejambat setinggi 50 meter selama empat jam sehingga senja, membuat kerja sekolah di tepi jalan raya sambil kenderaan lalu-lalang.

Menurut laporan media China, budak itu tinggal bersama ibunya dalam sebuah bilik kecil yang disewa dekat jejambat di Guiyang, selatan China.

Daily Mail yang memetik Pear Video melaporkan, ibunya, Li Gaoju, sambil menahan sebak berkata: “Kami terlalu miskin.

Bilik kami gelap, tiada lampu, jadi kami datang ke sini untuk Sinian membuat kerja sekolah dan belajar. Tiada cara lain.”

Qu Sinian bersama ibunya, Li Gaoju. - Foto Daily Mail.
Qu Sinian bersama ibunya, Li Gaoju. - Foto Daily Mail.

Bilik itu disewa dengan harga 400 yuan (RM246) sebulan dan Gaoju membelanjakan 100 yuan (RM61) sebulan untuk arang batu bagi pemanasan dan memasak.

Bapa budak itu yang bekerja di merata bandar di Sichuan dan Guiyang, cacat akibat terjatuh ketika bekerja lapan tahun lalu. Ibunya pula mempunyai masalah jantung.

Bapanya kini bekerja sebagai pemandu beca bermotor dengan pendapatan sekitar 1,000 yuan (RM600) sebulan.

Sinian yang berharap akan mendapat lampu meja bagi memudahkannya belajar, berkata mahu menjadi doktor.

“Saya mahu cari wang yang banyak untuk bapa dan ibu,” katanya.

Laporan sekolahnya menunjukkan dia mendapat A bagi semua semua mata pelajaran dengan gurunya menganggap Sinia sebagai rajin dan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 8:49 PM