ANGGOTA penyelamat mencari mangsa dengan bantuan anjing pengesan. - Reuters
AFP

Los Angeles: Pihak berkuasa berkata, puluhan penduduk masih belum dapat dikesan susulan tanah runtuh yang membunuh 17 orang termasuk kanak-kanak dan memusnahkan kediaman di rantau yang baru mengalami kebakaran hutan teruk.

Hujan lebat pada Selasa lalu yang menyusuli kemarau selama 10 bulan menyebabkan banjiran lumpur dari kawasan berbukit di Montecito dan bandar lain di daerah Santa Barbara, di barat laut Los Angeles.

Syerif Daerah Santa Barbara Bill Brown berkata: “Setakat ini 43 orang masih tidak diketahui nasib mereka dan kami menyiasat sama ada mereka benar-benar hilang. Mungkin mereka memang tiada di sini. Bagaimanapun, saya tidak menafikan jumlah kematian mungkin meningkat.”


VIDEO tersebar menunjukkan kereta dengan dua penumpang dibawa arus banjir lumpur di Burbank. - Daily Mail

Pada Disember lalu penduduk di sekitar California terpaksa berpindah akibat kebakaran hutan yang teruk. Lebih malang lagi apabila banjir lumpur berlaku hanya dua minggu selepas mereka dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Antara mangsa banjir berkenaan ialah selebriti terkenal seperti Oprah Winfrey yang turut mengongsikan gambar di media sosial menunjukkan kediamannya dibanjiri lumpur pada paras lutut di Montecito.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 1:17 AM