Cari gali minyak darat di Amerika. - Foto Fail
Cari gali minyak darat di Amerika. - Foto Fail
AFP

AMERIKA Syarikat bakal mengatasi Arab Saudi sebagai pengeluar minyak kedua terbesar dunia pada tahun ini berikutan peningkatan harga yang menarik minat syarikat minyak di negara itu untuk meningkatkan pengeluaran.

Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) pengeluaran minyak mentah 9.9 juta tong sehari Amerika kini adalah tahap tertinggi dalam tempoh hampir 50 tahun, menjadikan negara itu setara dengan Arab Saudi, pengeluar minyak kedua terbesar dunia selepas Russia.

“Perkembangan akan menyaksikan Amerika mencipta sejarah melepasi pengeluaran 10 juta tong sehari, mengatasi Arab Saudi dan menyaingi Russia sepanjang 2018.

“Namun, ia tertakluk kepada had pengeluaran Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan bukan negara pertubuhan itu,” kata laporan IEA.

Lebihan bekalan global menyebabkan harga minyak dunia jatuh serendah AS$30 (RM118) setong pada awal 2016.

Bagaimanapun, negara pengeluar, sama ada ahli OPEC atau bukan, memeterai perjanjian pada akhir 2016 untuk mengurangkan pengeluaran sekali gus meningkatkan harga minyak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 8:54 PM