MAYAT mangsa diletakkan di tepi jalan selepas dikeluarkan oleh orang ramai. - Agensi
Agensi

Palangkaraya: Seramai 11 jemaah tabligh terbunuh selepas sebuah lori pikap yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Desa Pundu di Kalteng, Kalimantan Tengah semalam.

Jurucakap polis memberitahu, kemalangan berlaku pada jam 6 pagi (waktu tempatan) ketika 15 jemaah tabligh menaiki lori pikap berkenaan.

Kebanyakan mangsa yang maut dipercayai duduk di bahagian belakang lori pikap berkenaan ketika kemalangan berlaku.

Katanya, lori pikap itu bertembung dengan sebuah lori membawa muatan simen di kilometer 32 wilayah Pundu, Kotawaringin Timur sebelum terbakar.

“Kami masih menjalankan siasatan. Sebanyak 11 mayat sudah dikeluarkan dan empat mangsa yang cedera dibawa ke hospital Kasongan,” kata jurucakap polis, Yuda Setiawan yang dipetik Tribunkalteng.com.

Menurutnya, pemandu lori itu tidak cedera tetapi ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, saksi memberitahu, lori pikap itu membawa jemaah tabligh dari Pontianak yang mahu menziarah makam seorang ulama, Habib Hamid di Banjarmasin, Kalimantan Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 4:38 AM