KIRA-kira 1.6 juta orang menonton perlawanan tinju antara KSI (kanan) dan Weller ini. - Agensi
KIRA-kira 1.6 juta orang menonton perlawanan tinju antara KSI (kanan) dan Weller ini. - Agensi
Agensi

London: Pertembungan dua selebriti YouTube di gelanggang tinju kelmarin, menarik sehingga 1.6 juta penonton, melebihi jumlah tontonan antara juara tinju dunia, Anthony Joshua dan Wladimir Klitschko pada April tahun lalu.

Perlawanan tinju antara Joe Weller, 21 dan KSI atau nama sebenarnya, Olajide William Olatunji, 24, itu dianggap yang terbesar di Britain.

Weller dan KSI mungkin terlalu asing bagi peminat sukan tinju kerana mereka bukan ahli sukan atau peninju, sebaliknya terkenal dalam kalangan pengguna taksub media sosial yang sering mengikuti ulasan permainan video di YouTube.

Menurut Daily Mail, rancangan perlawanan tinju itu bermula Ogos tahun lalu, selepas Weller mengalahkan Theo ‘Malfoy’ Bakerb yang amat berpengaruh di media sosial dalam perlawanan yang disiarkan secara langsung dari gelanggang tanpa penonton.

Selepas itu, muncul KSI yang mencabar Weller dan mereka mula berbalas komen, cabar mencabar di media sosial di media sosial, terutama Twitter, membawa kepada perlawanan tinju kelmarin.

Hampir 8,000 peminat memenuhi Copper Box Arena di Taman Olimpik London membeli tiket berharga £66 (RM364).

Selain 1.6 juta yang menonton perlawanan itu secara langsung, 20 juta lagi dijangka menyaksikan rakaman perlawanan itu - jumlah yang mengatasi penonton Wimbledon dan perlawanan akhir piala FA tahun lalu.

Dalam perlawanan itu, Weller menjadi peninju pilihan, namun KSI bangkit pada pusingan ketiga untuk mengalahkan lawannya.

Mereka sepatutnya bertarung enam pusingan dengan tiga minit bagi setiap pusingan, namun pengadil memberhentikan pertarungan pada pusingan ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 8:12 AM