Aston Martin Vanguish milik pelakon Daniel Craig yang akan dilelong. - FOTO Agensi
Aston Martin Vanguish milik pelakon Daniel Craig yang akan dilelong. - FOTO Agensi
Reuters

PELAKON filem James Bond Daniel Craig melelong kereta Aston Martin yang dibuat khas untuknya sempena filem itu bagi tujuan amal.

Kereta terbabit digunakan dalam empat filem James Bond dibintangi pelakon itu.

Kereta peribadi Aston Martin Vanguish model 2014 milik Craig dengan nombor plat 007 itu dianggar bernilai antara AS$400,000 (RM1.6 juta) hingga AS$600,000 (RM2.34 juta).

Ia akan dipamerkan di bilik pameran Christie di Los Angeles dari 27 Februari hingga 3 Mac ini.

Ia akan dipindahkan ke New York sebelum dilelong pada 20 April ini sebagai sebahagian jualan karya seni hiasan tahunan Jualan Luar Biasa.

Menurut syarikat jualan itu, warna luar dan dalaman kereta itu dipilih mengikut warna kesukaan Craig.

Hasil lelongan itu akan diserahkan kepada badan amal The Opportunity Network berpusat di New York bagi membantu pelajar kurang bernasib baik ke universiti dan kerjaya.

Tahun lalu, Craig berkata, dia akan memainkan sekali lagi watak James Bond buat kali terakhir yang dijadualkan ditayangkan di Amerika Syarikat pada 8 November 2019.

Kereta Aston Martin pertama kali muncul dalam siri ketiga francais filem itu, Goldfinger pada 1964, dengan Sean Connery memandu Aston Martin DB5 berwarna perak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 9:43 PM