PESAKIT dan petugas berada di luar sebuah hospital sebagai langkah berjaga-jaga susulan gempa bumi kuat di wilayah Veracruz, Mexico kelmarin. - AFP
Agensi

Mexico City: Sebuah helikopter tentera yang membawa Menteri Dalam Negeri Mexico, Alfonso Navarrete dan Gabenor Oaxaca, terhempas di selatan negara itu kelmarin dan meragut dua nyawa.

Bagaimanapun, Navarrete memaklumkan dia dan Gabenor Oaxaca, Alejandro Murat terselamat dan tidak mengalami cedera serius ketika pesawat yang mereka naiki itu terhempas ketika mendarat.

Kejadian berlaku ketika Navarrete bersama rombongannya membuat tinjauan selepas berlaku gempa bumi kuat berukuran 7.5 magnitud di selatan negara itu.

Dua mangsa yang maut itu dilaporkan bukan penumpang helikopter dan terbunuh akibat dihempap pesawat berkenaan.

Beberapa penumpang helikopter terbabit hanya cedera.

Sementara itu, gempa bumi yang melanda wilayah Oaxaca turut menyebabkan bangunan tinggi di Mexico City bergoyang.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, pusat gempa dikesan hampir dengan pantai Pasifik di selatan negeri Oaxaca pada kedalaman 43 kilometer.

Katanya, kawasan berkenaan pernah dilanda gempa bumi kuat pada September tahun lalu yang menyebabkan kemusnahan besar.

Namun, Perkhidmatan Awam Oaxaca memberitahu, tiada kerosakan atau kematian dilaporkan setakat ini.

Di Mexico City, bangunan tinggi dilaporkan bergoyang lebih seminit ketika amaran gempa dibunyikan di seluruh bandar dan gegaran dapat dirasai dari Guatemala hingga ke selatan negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 4:59 AM