PASUKAN penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa yang terperangkap dalam runtuhan  hotel akibat letupan gas ketika majlis perkahwinan di Beawar, India. - AFP
PASUKAN penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa yang terperangkap dalam runtuhan hotel akibat letupan gas ketika majlis perkahwinan di Beawar, India. - AFP
AFP

Ajmer (India): Pasukan penyelamat menemui sembilan lagi mayat di bawah sisa runtuhan sebuah hotel di sini, menjadikan jumlah korban akibat letupan kuat ketika satu majlis perkahwinan kepada 18 orang, kata pegawai semalam.

Satu silinder gas meletup pada lewat Jumaat lalu di sebuah hotel di Beawar di negeri Rajasthan menyebabkan bangunan tiga tingkat itu runtuh dan mencetuskan kebakaran besar.

Pada petang Sabtu lalu, pegawai memberitahu, sembilan mayat ditemui.

Bagaimanapun, angka korban meningkat semalam apabila pasukan penyelamat yang dibantu askar menemui sembilan lagi mangsa termasuk wanita dan kanak-kanak di bawah runtuhan.

“Setakat ini 18 mayat ditemui. Lima lagi mangsa yang cedera termasuk lecur teruk kini dirawat di hospital,” kata pegawai pentadbiran daerah Ajmer, Gaurav Goyal.

Pasukan penyelamat masih mengalihkan sisa konkrit dan besi bagi mencari saki baki mangsa yang masih hilang.

Saksi memberitahu stesen televisyen NDTV, letupan berlaku ketika tukang masak cuba mengisi silinder gas.

Ketua Menteri Rajasthan, Vasundhara Raje melawat mangsa yang cedera di hospital kelmarin dan mengumumkan pampasan 200,000 rupee (RM12,117) kepada setiap keluarga mangsa yang terbunuh.

“Letupan silinder gas di majlis perkahwinan di Beawar adalah satu mimpi ngeri,” katanya di Twitter.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 9:12 AM