ORANG ramai berkumpul melihat gerai teh yang musnah selepas dirempuh lori yang terbabas di daerah Jabalpur, Madhya Pradesh, India semalam. - Agensi
AFP

New Delhi: Sebuah trak yang dipandu melebihi had kelajuan merempuh gerai teh di tengah India semalam, menyebabkan lapan maut dan empat lagi cedera dalam kemalangan ngeri yang mencetuskan pergaduhan.

Jurucakap polis memberitahu, kemalangan berlaku apabila pemandu kenderaan berat itu hilang kawalan ketika memecut lalu merempuh gerai di tepi jalan dan tiga rumah berhampiran di daerah Jabalpur di negeri Madhya Pradesh.

Timbalan Inspektor Jeneral Polis Daerah, B S Chouhan berkata, lapan mangsa maut di lokasi kejadian akibat dirempuh lori berkenaan.

Menurutnya, ratusan penduduk yang marah berkumpul di tempat kejadian sebelum membaling batu ke arah polis dan membakar kereta peronda.


KENDERAAN polis dibakar penduduk kampung yang merusuh selepas kemalangan itu yang meragut lapan nyawa. - Agensi

Apabila keadaan semakin tidak terkawal, polis terpaksa memanggil pasukan bantuan untuk memulihkan ketenteraman.

Minggu lalu, pemandu trak maut di daerah berhampiran selepas merempuh sebuah rumah, mencederakan enam orang.

India memiliki rekod keselamatan jalan raya buruk, dengan hampir 150,000 kematian pada 2016, menurut data kerajaan.

Menurut pihak berkuasa India, dianggarkan 30 peratus daripada lesen memandu di negara itu adalah palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 4:18 AM