Salah seorang anggota keluarga Joanna tidak dapat menahan kesedihan melihat keranda yang tiba di Manila minggu lalu. FOTO EPA
AFP

PASANGAN suami isteri ditahan di Damsyik kerana membunuh pembantu rumah Filipina yang ditemui mati dalam peti sejuk di Kuwait, kata pegawai kehakiman Lubnan.

Pihak berkuasa menyerahkan warga Lubnan, Nader Essam Assaf ke Beirut pada Jumaat lalu manakala isterinya, Mona, yang juga rakyat Syria, masih ditahan di ibu negara.

Pembunuhan Joanna Demafelis, 29, mencetuskan kemarahan di Filipina dengan Presiden Rodrigo Duterte mengeluarkan perintah melarang rakyatnya bekerja di Kuwait.

Mayat mangsa yang menunjukkan tanda didera ditemui awal bulan ini di dalam peti sejuk di apartmen pernah dihuni pasangan itu.

Mereka diburu Interpol sejak mayat mangsa ditemui lebih setahun selepas keluarganya melaporkannya hilang.

Menurut pegawai Lubnan, pasangan itu singgah di situ selepas meninggalkan Kuwait sebelum meneruskan perjalananan ke Syria.

Duterte menjanjikan keadilan untuk keluarga Joanna dan menuduh majikan Arab sering merogol pembantu rumah Filipina serta memaksa mereka bekerja 21 jam sehari tanpa makanan secukupnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 10:02 PM