Kapal selam tentera laut Argentina yang hilang November lalu. - Reuters
Kapal selam tentera laut Argentina yang hilang November lalu. - Reuters

Santiago: Kerajaan Argentina akhirnya mengaku kapal selam tentera lautnya yang hilang bersama 44 anak kapal November tahun lalu, melakukan misi pengintipan di Kepulauan Falkland Falklands ketika hilang.

Sebelum ini, tentera laut Argentina menegaskan kapal selam itu, ARA San Juan dalam misi latihan ketika hilang.

Hingga kini, kapal selam itu gagal dikesan dan penyiasat mendakwa berlaku letupan kuat di lokasi terakhir kapal selam berkenaan di Lautan Atlantik Selatan sebelum hilang, ketika ia dalam perjalanan pulang ke pangkalan di Mar del Plata.

Semalam, media Britain melaporkan, Ketua Turus tentera Argentina, Marcos Pena, mengakui kapal selam itu diarahkan ke Kepulauan Falkland (digelar Malvinas oleh Argentina) bagi mengenal pasti kapal dan pesawat di sana.

Menurut Daily Mail, Pena memberitahu Kongres Argentina misi utama San Juan ialah mengenal pasti lokasi, merakam gambar atau video kapal perang, kapal logistik, kapal tangki dan kapal penyelidik yang tidak menggunakan bendera Argentina.

Menurut Sunday Express, Pena berkata: “Namun, misi keduanya merekod identiti kapal dan pesawat yang beroperasi di Malvinas (Falkland),” katanya. - Agensi

Pena juga menyatakan senarai kapal serta pesawat yang dikenal pasti kapal selam itu, termasuk pesawat Tentera Udara Diraja Britain dan pesawat milik Kerajaan Kepulauan Falkland.

Pengakuan itu dibuat selepas kebocoran dokumen sulit mengenai aktiviti kapal selam terbabit yang disiarkan satu laman web Argentina bulan lalu.

Keluarga anak kapal mendakwa saudara-mara mereka yang berkerja dalam kapal selam itu menyatakan mereka dikejar helikopter Britain sebelum ia hilang.

Kementerian Pertahanan Britain bagaimanapun, menafikan dakwaan itu.

Pegawai kedua tertinggi kapal selam itu, Roberto Daniel Medina, memberitahu adik perempuannya, selain helikopter Britain, mereka juga dikejar kapal tentera laut Chile. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Mac 2018 @ 10:05 AM