Mogok di Perancis dan Jerman menyebabkan puluhan ribu penumpang terjejas. FOTO AGENSI
AFP

FRANKFURT: Puluhan ribu penumpang pesawat terkandas hari ini apabila pekerja syarikat penerbangan Lufthansa dan Air France, melancarkan mogok yang melumpuhkan perkhidmatan di beberapa lapangan terbang utama Eropah.

Syarikat penerbangan terbesar Jerman, Lufthansa, terpaksa membatalkan 800 daripada 1,600 penerbangan dijadualkan, termasuk 58 penerbangan jarak jauh, apabila pekerja sektor awam negara itu termasuk kru di darat dan pasukan bomba lapangan terbang melancarkan mogok antara jam 5 pagi dan 6 pagi waktu tempatan.

Amaran mogok menjejaskan lapangan terbang terbesar Jerman di Frankfurt selain hab seperti di Munich, Cologne dan Bremen.

Lapangan terbang seperti di Hamburg, Leipzig dan Hanover turut terjejas.

Selain lapangan terbang, pengangkutan awam, tadika, pengutipan sampah dan hospital juga menerima kesan apabila pekerja awam melancarkan mogok menuntut kenaikan gaji enam peratus kepada 2.3 juta pekerja bagi kerajaan persekutuan, negeri dan tempatan Jerman.

Sementara di Perancis, laluan udara juga terganggu teruk apabila syarikat penerbangan terbesar negara itu, Air France, terpaksa membatalkan satu dalam empat penerbangan, dalam mogok pusingan keenam yang dilancarkan pekerjanya sejak Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 9:05 PM