Syamsuddin (kiri) bersama Fitra Ayu hadir ke Pejabat Agama Daerah Bantaeng hari ini untuk berkahwin. FOTO SINDOnews
Agensi

Bantaeng (Indonesia): Hasrat pasangan kekasih bawah umur untuk berkahwin, hari ini tidak kesampaian selepas majlis itu terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu kerana dokumen kebenaran nikah belum ditandatangani pegawai daerah setempat.

SINDOnews melaporkan, Syamsuddin, 15, dan pasangannya Fitra Ayu, 14, perlu menunggu dengan sabar kerana mereka hanya boleh melangsungkan pernikahan selepas mendapat kebenaran pegawai daerah Bantaeng.

“Sepatutnya kami bernikah hari ini tetapi ditangguhkan kerana masih ada dokumen yang belum lengkap,” ujar Syamsuddin.

Menurut TribunBantaeng.com, pasangan berkenaan yang sudah menghadiri Kelas Bimbingan Perkahwinan Khamis lalu tiba di Pejabat Agama Daerah Bantaeng hari ini ditemani penjaga masing-masing untuk urusan pernikahan itu.

Pasangan muda berkenaan masih bersekolah itu menjadi tular di media sosial di Indonesia selepas mereka memutuskan untuk berkahwin pada usia muda.

Antara alasan pasangan berkenaan ketika memohon untuk berkahwin pada usia muda adalah Fitra Ayu takut tidur seorang diri selepas ibunya meninggal dunia manakala bapanya sering keluar daerah atas urusan kerja.

Ketua Bahagian Perlindungan dan Pertumbuhan Kanak-Kanak Bantaeng Siti Ramlah turut berkata, pernikahan tetap akan berlangsung cuma mereka perlu mendapatkan tandatangan daripada pegawai daerah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 6:34 PM