BUCH-Jepsen menyatakan bahawa Madsen membunuh Wall sebagai sebahagian fantasi seksual mengerikannya. -Foto EPA
BUCH-Jepsen menyatakan bahawa Madsen membunuh Wall sebagai sebahagian fantasi seksual mengerikannya. -Foto EPA
AFP

COPENHAGEN: Mahkamah di ibu kota Denmark akan memutuskan hari ini sama ada pembina kapal selam, Peter Madsen, membunuh wartawan Sweden, Kim Wall, di dalam kapalnya sebelum mengerat mayat mangsa dan membuang anggota tubuhnya ke dalam laut tahun lalu.

Keputusan oleh seorang hakim profesional dan dua juri itu dijangka diperoleh pada jam 1.00 tengah hari waktu tempatan, selepas 11 hari sesi pendengaran yang mendedahkan fantasi seksual buruk lelaki berusia 47 tahun itu, membabitkan memenggal kepala dan mendera wanita.

Pendakwa, yang menuduh Madsen melakukan pembunuhan terancang, serangan seksual teruk dan menghina mayat, menggesa dia dikenakan hukuman penjara seumur hidup, puratanya 16 tahun di Denmark.

Madsen mengaku mengerat mayat Wall dan membuang anggota tubuh mangsa, kesalahan yang boleh dihukum enam bulan penjara, tetapi tidak mengaku membunuhnya.

Pendakwa raya, Jakob Buch-Jepsen, berkata Madsen membunuh Wall, 30, sebagai sebahagian fantasi seksual mengerikan dan cuba mewujudkan jenayah sempurna.

Bagaimanapun, Madsen, berkata wartawan bebas itu berada dalam kapal selam dibinanya itu pada 10 Ogos untuk menemubualnya, meninggal dunia dalam kemalangan apabila tekanan udara menurun tiba-tiba dan asap toksik memenuhi kapalnya.

“Saya kesal dengan apa yang berlaku,” katanya kepada mahkamah selepas kedua-dua pihak membentangkan hujah penutup kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 11:10 AM