ERIC Schneiderman
ERIC Schneiderman
Agensi

New York: Pendakwa kanan New York yang juga giat memperjuangkan gerakan antigangguan seksual #MeToo meletak jawatan semalam, selepas empat wanita mendakwa didera secara fizikal, selain turut diancam olehnya.

Tuduhan itu disiarkan majalah The New Yorker, malah dua daripadanya - Michelle Manning Barish dan Tanya Selvaratnam yang juga bekas teman wanitanya membenarkan identiti mereka didedahkan.

Dua wanita itu berkata, mereka memilih tidakmembuat laporan polis ketika kejadian walaupun kecederaan dialami memerlukan rawatan doktor.

Seorang lagi mangsa yang juga peguam di New York mendakwa ditampar Schneiderman kerana tidak berminat mengadakan hubungan dengannya.

Ia kejatuhan kuasa mendadak buat Eric Schneiderman, ketua peguam New York dan juga seteru Presiden Donald Trump yang aktif dalam melancarkan beberapa prosiding perundangan terhadap pentadbiran Republikan sejak pelantikan pemimpin itu.

“Beberapa tuduhan serius dibuat terhadap saya. Walaupun tidak berkaitan dengan profesionalisme atau operasi di pejabat ini, ia akan menghalang saya melaksanakan tugasan.

“Dengan itu saya mengambil keputusan melepaskan jawatan berkuat kuasa 8 Mei,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan itu, Gabenor New York, Andrew Cuomo dalam satu kenyataan berkata, dia mengarahkan siasatan segera dijalankan.

“Tiada sesiapapun kebal daripada undang-undang Pendakwa Kanan New York. Pada saya fakta kes menunjukkan Schneiderman terus melaksanakan tugasnya sebagai pendakwa negeri,” katanya.

Michelle dan Tanya ketika diwawancara mendakwa Schneiderman berulang kali memukul mereka termasuk ketika hubungan seks dan tanpa kerelaan, lazimnya selepas mengambil minuman keras.

Mereka mendakwa terpaksa mendapatkan rawatan selepas ditempeleng beberapa kali di telinga dan muka serta dicekik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 4:48 AM