POLIS Dhaka menahan suspek penjual dan penagih dadah, semalam. - EPA
EPA

Dhaka: Sejak melancarkan perang anti-dadah bulan ini, polis Bangladesh sudah menembak mati lebih 100 suspek, termasuk 10 yang ditembak semalam, manakala 12,000 lagi ditahan.

Menurut polis, 10 suspek penyeludup dadah ditembak awal pagi semalam, sama ada ketika bertempur dengan polis atau pertempuran sesama kumpulan pengedar dadah.

Keseluruhan, 102 suspek dibunuh sejak Bangladesh melancarkan perang dadah untuk menghapuskan permintaan semakin meningkat untuk yaba iaitu pil murah gabungan methamphetamin dan kafein.

“Perang ini akan berterusan sehingga ia dapat dikawal,” kata Menteri Dalam Negeri, Asaduzzaman Khan.

Kira-kira 12,000 suspek penjual ditahan dan dibicarakan dalam mahkamah khas sejak kempen bermula 15 Mei lalu, dengan ramai dijatuhkan hukuman penjara tujuh hari hingga enam bulan.

Khan berkata, tiada timbul persoalan mengenai mereka yang dibunuh sama ada pengedar dadah atau tidak.

“Kebanyakan yang dibunuh memiliki senjata. Mereka melepaskan tembakan sebaik melihat polis.

“Mereka bukan orang baik, setiap mereka ada rekod antara 10 hingga 12 kes jenayah” katanya.

Bangladesh sedang berusaha mengekang kemasukan ratusan juta pil yaba dari Myanmar dan tahun lalu saja merampas 40 juta pil itu, namun pihak berkuasa menganggarkan sehingga 300 juta berjaya memasuki pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 8:12 AM