GEMPA bumi berlaku kira-kira 30 kilometer dari ibu negara Vanuatu, Port Vila.
AFP

GEMPA bumi dengan kekuatan 6.1 magnitud melanda Vanuatu, sebuah negara di Lautan Pasifik Selatan hari ini, namun setakat ini tiada laporan kerosakan diterima pihak berkuasa.

Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi berlaku pada kedalaman 21 kilometer iaitu kira-kira 30 kilometer dari ibu negara Vanuatu, Port Vila.

Pada masa sama, USGS berkata, jumlah kerosakan dan mangsa yang cedera mungkin rendah walaupun gempa bumi yang melanda kawasan itu turut menyebabkan tanah runtuh di beberapa kawasan.

Vanuatu mempunyai kira-kira 280,000 penduduk yang mendiami lebih daripada 65 pulau di sekitarnya dan ia dianggap sebagai antara negara di dunia yang terdedah kepada bencana.

Kedudukan di atas Lingkaran Api Pasifik menyebabkan ia terdedah kepada gempa bumi yang kuat dan letusan gunung berapi, malah pulau itu juga selalu dilanda siklon.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 7:50 AM