CUACA panas sehingga 40 darjah Celsius menyebabkan 19 maut di Kanada. - Agensi

Montreal: Fenomena gelombang haba di Quebec menyebabkan sekurang-kurangnya 19 maut sejak seminggu lalu, ketika cuaca panas melampau melanda kawasan timur Kanada.

Menurut pengarah kesihatan awam serantau, Mylene Drouin, 12 kematian dilaporkan berlaku di wilayah timur.

Akhbar The Tribune melaporkan, lima daripada kematian itu berlaku sejak 48 jam lalu di Perbandaran Timur, kawasan luar bandar di timur Quebec.

Lewat semalam, dua lagi kematian berlaku berpunca daripada cuaca panas melampau yang direkodkan di pinggir bandar ini, lapor Radio Canada.

“Suhu panas dijangka berterusan di tengah dan timur Kanada, justeru pastikan anda tahu bagaimana melindungi diri dan keluarga,” kata Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, melalui Twitter.

Golongan paling teruk menerima impak ialah orang tua dan mereka yang mengalami penyakit kronik.

Menurut perkhidmatan kaji cuaca, suhu meningkat kepada 34 darjah Celsius dengan kelembapan menjadikannya menghampiri 40 darjah Celsius.

Fenomena gelombang panas pada 2010 mengorbankan kira-kira 100 orang di sekitar kawasan itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 11:20 AM