PETIKAN video menunjukkan Rohit sedang menunggu kedatangan pasukan bomba untuk menyelamatkannya. FOTO Ihsan Times of India
Agensi

TANGAN kanan remaja lelaki tersangkut selama lima jam dalam lubang tandas selepas dia cuba mengambil telefon bimbit yang terjatuh ketika membuang air, semalam.

Kejadian membabitkan pelajar kolej berusia 19 tahun itu, Rohit Rajbhar berlaku jam 8 pagi di Mumbai, India.

Times of India melaporkan, remaja itu diselamatkan anggota bomba pada jam 1 tengah hari selepas memecahkan dinding tandas berkenaan.

Menurut bomba, tangannya dipercayai tersangkut akibat gelang yang dipakainya.

Jurucakap bomba, R B Ghadge berkata, mereka perlu berhati-hati memandangkan sistem perpaipan di tandas berkenaan agak rumit.

“Remaja itu memakai gelang yang turut tersangkut di dalam lubang tandas. Dia tidak panik ketika kami cuba mengeluarkannya sebelum berjaya diselamatkan pada jam 1 tengah hari,” katanya.

Akibat kejadian itu, Rohit mengalami bengkak pada tangan tetapi kecederaannya tidak serius. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 9:29 PM