NASSAR (kanan) didakwa melakukan serangan seksual dan pornografi kanak-kanak. FOTO/AFP
NASSAR (kanan) didakwa melakukan serangan seksual dan pornografi kanak-kanak. FOTO/AFP
AFP

CHICAGO: Bekas doktor pasukan gimnastik Amerika Syarikat, Larry Nassar yang terbabit melakukan penderaan seksual ke atas ratusan atlet wanita dan remaja perempuan mendakwa diserang di penjara persekutuan serta dihukum secara berat sebelah oleh hakim.

Nassar dihukum penjara seumur hidup atas sabitan tiga kesalahan serangan seksual dan pornografi kanak-kanak.

Dalam tuntutan di mahkamah negeri Michigan, beliau meminta perbicaraan untuk hukuman baru dengan mendakwa keputusan sebelum ini dijatuhkan oleh hakim yang tidak adil.

Doktor berusia 54 tahun itu mengaku salah melakukan serangan seksual ke atas atlit sejak berpuluh tahun lalu, termasuk juara Gimnastik AS dan Olimpik, atas alasan rawatan perubatan.

Peguam bela Nassar mengkritik Hakim Rosemarie Aquilina yang menjatuhkan hukuman berkenaan pada penghakiman Januari lalu selepas mendengar keterangan penuh emosi daripada 160 mangsa.

Aquilina menjadi perhatian apabila memberikan ulasan jujur dan pedas semasa perbicaraan, selain kata-kata berunsur pujukan ke atas setiap saksi yang memberi keterangan.

“Usaha Hakim Aquilina untuk memalukan Dr Nassar di seluruh dunia berjaya dan doktor itu menjadi mangsa serangan di dalam mahkamah di Eaton County dan penjara persekutuan,” kata peguam Nassar dalam tuntutan berkenaan.

Perbicaraan di Eaton County berlaku selepas hukuman dijatuhkan oleh Hakim Aquilina dan Nassar hampir dipukul oleh bapa seorang daripada mangsa terbabit namun berjaya diselamatkan polis bertugas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 10:09 AM