BEIJING sudah mula menolak permohonan pendaftaran daripada 19,500 firma, dan menutup atau memindahkan 2,465 kilang ‘biasa’, kata akhbar People's Daily. FOTO/AFP
BEIJING sudah mula menolak permohonan pendaftaran daripada 19,500 firma, dan menutup atau memindahkan 2,465 kilang ‘biasa’, kata akhbar People's Daily. FOTO/AFP
Reuters

SHANGHAI: Beijing akan menutup 1,000 syarikat perkilangan menjelang 2020 sebagai sebahagian daripada program yang menyasarkan untuk mengurangkan pelepasan asap dan meningkatkan pendapatan di wilayah berhampiran, kata media rasmi hari ini.

Ia sekali gus akan memberi tumpuan kepada industri dinamik, berteknologi tinggi dan menghentikan pengilangan ‘biasa’, kata akhbar rasmi Parti Komunis, People's Daily, memetik satu dokumen dasar yang diterbitkan kerajaan perbandaran Beijing.

Bandar ini sudah mula menolak permohonan pendaftaran daripada 19,500 firma, dan menutup atau memindahkan 2,465 kilang ‘biasa’, kata akhbar itu.

China melancarkan rancangan untuk meningkatkan penyelarasan di rantau Beijing-Tianjin-Hebei yang kerap dilanda masalah asap tebal pada 2014 berikutan kebimbangan persaingan antara ketiga-tiga wilayah ini membazirkan sumber dan mengakibatkan lebihan kapasiti dan pencemaran.

Ia turut merancang untuk mengurangkan aktiviti pembuatan dan industri berat di Beijing, serta memindahkan universiti dan beberapa jabatan kerajaan ke zon ekonomi baru Hebei di Xiongan.

Kerajaan juga ingin mewujudkan rangkaian pengangkutan bersepadu dan menyelaraskan standard dalam bidang seperti kebajikan dan pendidikan untuk menjadikan Hebei, yang terkenal dengan industri beratnya, lebih menarik untuk pelabur.

Seorang pegawai di wilayah Hebei awal tahun ini berkata pelan itu membantu memacu pendapatan purata di Hebei meningkat 41 peratus sejak 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 11:40 AM