AFP

AIR kotor bersama ikan membanjiri hospital di timur laut India selepas hujan monsun manakala sekurang-kurangnya 80 maut di satu negeri dalam nahas berkaitan cuaca sejak beberapa hari lalu, kata pihak berkuasa hari ini.

Pesakit duduk dengan kaki mereka di atas katil di hospital Kolej Perubatan Nalanda di Bihar apabila air membanjiri unit jagaan rapi (ICU), menyebabkan huru hara ketika hujan monsun menjejaskan infrastruktur usang negara itu.

“Sebahagian lantai tingkat bawah dinaiki air semalam (Ahad) selepas sebatang paip tersumbat akibat hujan lebat, menyebabkan banjir,” kata Pengetua kolej hospital, Sitaram Prasad.

Puluhan ribu bangunan dan rumah di seluruh India kerap dinaiki air ketika musim monsun dari Jun hingga September, membawa kematian dan kemusnahan.

Kira-kira 545 maut di seluruh negara sejak Mei lalu akibat hujan dengan lebih sejuta terjejas.

Ketua Pengurusan Bencana di Uttar Pradesh di barat Bihar, Sanjay Kumar berkata, 80 orang terbunuh akibat rumah atau dinding runtuh sejak Khamis lalu selepas hujan lebat turun di kebanyakan rantau itu.

Negeri berjiran juga dalam keadaan berjaga-jaga dengan pihak berkuasa mengeluarkan 3,000 penduduk dari kawasan berhampiran Sungai Yamuna, yang mengalir di atas paras bahaya di ibu kota ini.

Jambatan besi berusia 150 tahun ditutup ketika paras air naik. Pihak berkuasa di Haryana berkata, banyak sungai menghampiri paras bahaya.

Gujarat di barat dan negeri timur laut Assam turut terjejas dengan lebih 200,000 tinggal di kem bantuan.

Mumbai, ibu kota negeri barat Maharashtra, menerima hujan lebat selama beberapa hari yang menjejaskan pengangkutan awam dan mencetuskan banjir teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 8:41 PM
PETIKAN video menunjukkan keadaan hospital yang dilanda banjir. FOTO AFP
PETIKAN video menunjukkan keadaan hospital yang dilanda banjir. FOTO AFP